Wednesday 29 April 2015

Salam Perkenalan

Bismillah.Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum

Saya mulakan coretan ini dengan memperkenalkan diri saya. Nama saya Nooraida Binti Mohd Shukri. Saya dilahirkan pada 14 Ogos 1980 di Jitra, Kedah. Ibu kepada 3 orang anak( 2 perempuan dan seorang lelaki).Memandangkan saya ini anak seorang tentera maka saya membesar dan bersekolah rendah di merata negeri iaitu kedah, Sabah, Johor dan di Perak.

Mendapat pendidikan Menengah di Sekolah Men.Tun Perak, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak. Selepas SPM, saya menyambung pelajaran di UKM dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan selama 3 tahun. Bermula dari situ saya belajar berdikari kerana sebelum ini tidak pernah berjauhan dari keluarga dan tidak tinggal di asrama. Banyak perkara yang dipelajari selain dari kehidupan seorang siswi yang agak sibuk menyiapkan tugasan, nilai persahabatan, kecekalan dan pengorbanan juga ditempuhi.

Selepas tamat belajar, saya mendapat kerja di sebuah kolej swasta di Pulau Pinang. Saya bekerja di bahagian kewangan kolej tersebut selama 12 tahun dan menjawat jawatan penolong pengurus kewangan. Pengalaman menguruskan akaun bayaran bagi syarikat menuntut banyak kesabaran, ketekunan dan kebolehan kita untuk berurusan dengan pelajar, pihak pengurusan dan juga vendor yang masing- masing mempunyai karenah serta keperluan yang berbeza.

Langit tidak selalu cerah, ketika berada dalam keadaan yang selesa iaitu mempunyai kerja yang tetap dan gaji yang agak lumayan, saya dikejutkan dengan keadaan syarikat yang goyah. Hati jadi tidak keruan apabila memikirkan komitmen bulanan serta pemberian bulanan kepada ibu bapa yang terpaksa diberhentikan. Semasa cuti berpantang anak ke 3, syarikat terpaksa ditutup dan sejak itu bermula episod saya menjadi seorang suri rumah sepenuh masa.
Sumber: google

Pada permulaannya memang saya sangat tertekan tetapi berbekalkan semangat dari suami dan keluarga yang sentiasa memberi sokongan,  saya sedar saya perlu redha dengan apa yang terjadi kerana pasti ada hikmah dah rahsia disebalik semua ini.

Saya perlu BANGKIT demi keluarga ini. Saya kuatkan azam dan bertekad untuk menjadi seorang isteri, ibu dan anak yang lebih baik. Saya ingin menjadi seorang suri rumah yang berjaya dimana dapat membantu suami dan juga menjadi kebanggaan kepada anak-anak.

Pada masa kelapangan saya isikan dengan membaca buku pelaburan dari pelabur terkenal dalam dan luar negeri. Selain dari itu juga saya amat suka membaca kata- kata hikmah dan motivasi diri agar kata - kata ini dapat membakar semangat saya untuk teruskan perjuangan menuntut ilmu perniagaan sebanyak mungkin.

Akhir sekali  saya amat berharap agar matlamat untuk menjadi seorang wanita, isteri, ibu yang berjaya dunia dan akhirat tercapai dan juga dapat memberi dorongan kepada wanita- wanita lain di luar sana.

Wallahualam.
Terima kasih.